Wednesday, November 16, 2011

Mitos - Pantang Larang Melayu Lama



Masyarakat Melayu lama kaya dengan pantang larang yang diwariskan kepada anak masing-masing dalam usaha mereka menjaga perlakuan keluarga dan hubungan sesama anggota masyarakat mahupun kepada alam sekitar.

Sekali dengar sesetengah pantang larang Melayu lama seakan-akan menyekat kebebasan individu

dan kedengaran seperti tidak masuk di akal, meskipun hakikatnya pantang larang yang dikenakan itu dapat dilihat ‘kebenarannya’ sehingga kini.

Sesetengah orang melihat pantang larang Melayu lama tidak lagi sesuai diamalkan pada masa kini kerana bimbang boleh memesongkan akidah masyarakat khususnya dalam hal berkaitan kejadian, jodoh, rezeki, ajal dan maut kerana ia di tangan Ilahi.

Bagaimanapun jika diteliti sesetengah daripada pantang larang Melayu lama ada sumbangan tersendiri kepada masyarakat dan boleh diterima pakai sehingga ke hari ini apalagi tidak kurang yang mempunyai nilai menjaga kesihatan.

Pantang larang mandi malam umpamanya bertujuan untuk menjaga kesihatan pelaku yang terbukti akan mudah diserang pneumonia dan begitu juga dengan kecenderungan meminum air batu bagi mengelakkan individu mudah dijangkiti selsema mahupun demam.

Larang membiarkan tempayan beras di rumah kosong dengan alasan memendekkan rezeki sebenarnya bagi memberi peringatan kepada tuan rumah agar sentiasa bersedia menerima tetamu dan tidak lokek menjamu mereka.

Begitu juga dengan larangan membuang air di tempat yang tidak sepatutnya dengan alasan akan dimarahi penunggu sehingga mendatangkan penyakit, hakikatnya bertujuan menjaga adab dan kebersihan alam sekitar.

Bagi gadis pula yang dilarang menyanyi di dapur kerana dibimbangi lambat mendapat jodoh, hakikat bertujuan memastikan mereka memberi tumpuan dalam pekerjaan yang dilakukan serta mengelakkan daripada berlakunya pembaziran sekiranya masakan hangus kerana leka berhibur.

Larangan makan dalam pinggan sumbing kerana hutang akan bertimbun sebenarnya perbuatan itu bertentangan dengan sunnah Rasulullah saw dan memudahkan diri dijangkiti kuman yang berkumpul pada bahagian yang rosak itu.

Tidak ketinggalan larangan memakan kepala ikan dengan alasan akan menyebabkan seseorang itu lambat menghafaz pelajaran sebenarnya turut diterima pakai dalam amalan melahirkan tahfiz sehingga hari ini.

Pensyarah Jabatan Antropologi dan Sosiologi, Universiti Malaya (UM), Siti Nor Awang, menafsir pantang larang yang diamalkan dalam masyarakat Melayu dulu sebagai panduan hidup mengenai perkara yang boleh dilakukan, larangan dan wajar.

“Masyarakat tradisional belajar sesuatu melalui lisan dan pantang larang yang menjadi amalan disampaikan dari generasi ke generasi berbanding masyarakat tamadun terdahulu yang belajar melalui tulisan mahupun manuskrip,” katanya pada pertemuan dengan Sastera di pejabatnya di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Baginya pantang larang dalam masyarakat Melayu ialah sesuatu yang dipersetujui mengenai perkara tertentu untuk dijadikan panduan hidup selain ‘dihormati’ dalam usaha melahirkan keharmonian bermasyarakat dan mewakili nilai mahupun norma sepunya.

Siti Nor berkata, pantang larang juga bertujuan melahirkan masyarakat sihat seperti dapat dilihat melalui larangan mandi pada waktu malam yang sebenarnya mengelakkan pengamalnya daripada diserang pneumonia jika sudut perubatan semasa digunakan dalam menilai perkara itu.

“Masyarakat Melayu lama cerdik dalam menyampaikan ‘peraturan’ dengan darjah keseriusan berbeza

dan ia dapat dilihat melalui kesan dan akibat yang dikatakan berhubung perbuatan melanggar larangan yang ditetapkan,” ujarnya.

Melarang ahli keluarga meniarap sambil menyilang kaki ke atas dengan alasan ibu pelaku cepat meninggal dunia sebenarnya bagi menjaga kehormatan diri manakala duduk di atas bantal menyebabkan bisul lebih kepada kawalan perlakuan bersopan.

Pensyarah Kanan, Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof Madya Dr Nik Mohd Rosdi Nik Ahmad, melihat pantang larang menurut sudut agama dan adat yang

diwarisi daripada nenek moyang, wajar diamalkan selagi tidak bercanggah serta selari dengan kehendak al- Quran mahupun sunnah.

“Orang Melayu lama mengadakan pantang larang berdasarkan pengalaman mereka sehingga ia sebati dalam pemikiran masyarakat dengan sesetengahnya bertentangan wahyu Allah SWT. Pantang larang yang berbau khurafat dan bertentangan dengan al-Quran serta sunnah, wajar ditinggalkan,” jelasnya.

Dr Nik Mohd Rosdi berkata, sesetengah pantang larang orang Melayu yang berkait dengan kuasa ghaib sebenarnya bertujuan menimbulkan rasa takut pada masyarakat dan dipercayai sepenuhnya, sewajarnya diubah dengan mendahulukan akidah dan ajaran Islam.

“Dengan mendahulukan akidah dan ajaran Islam dalam perkara berhubung pantang larang, kita masih mengekalkan tujuan baik iaitu menghindarkan perkara buruk menimpa diri dan membendung diri daripada melakukan sesuatu perbuatan tidak sopan,” katanya.

Oleh Tuan Nur Suhaila Raja Muhammad
Comments
0 Comments

0 comments:

Post a Comment